Sunday, March 8, 2009
Suratman Markasan
Suratman Markasan merupakan seorang penulis syair, cerpen dan novelis. Beliau telah dinobat sebagai salah satu daripada Perintis Sastera Singapura. Beliau mula menulis sejak awal 1950-an. Pada masa yang sama, beliau sudah pun menamatkan pengajian di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim, Perak.
Suratman dilahirkan di Pasir Panjang pada 1930. Setelah menamatkan pelajaran, beliau mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah di Singapura. Beliau kemudian menyambung pelajaran di Universiti Nanyang pada tahun 1968 dan berjaya meraih Sarjana Muda Sastera dalam pengajian Melayu dan Indonesia. Beliau telah dilantik menjadi Inspektor Pakar Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Kementerian Pendidikan Singapura pada tahun 1976 dan kemudiannya Penolong Pengarah Pengajian Melayu dan Tamil pada tahun 1980. Suratman juga pernah menjadi pensyarah bahasa dan sastera Melayu di Institut Pendidikan Singapura.
Oleh kerana beliau rela meluangkan masa dan tenaga, beliau berjaya menyelenggarakan antologi cerpen "Temasik" dan antologi sajak "Tiga Warna Bertemu".Kedua-dua antologi ini merupakan buku-buku Singapura yang pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Inilah pertama kali Dewan Bahasa dan Pustaka mencetak buku hasil tulisan penulis Singapura. Beliau kemudiannya meneruskan usaha untuk menyelenggarakan antologi bersama penulis-penulis ASEAN dan cerpen-cerpen Nusantara. Menyentuh tentang karya beliau, buku “Subuh Hilang Senja” merupakan teks yang digunakan bagi subjek Sastera di peringkat menengah.
Selain memenuhi tugasnya sebagai seorang pendidik, Suratman bergiat dalam aktiviti bahasa, sastera dan budaya Melayu di Singapura. Beliau telah memegang berbagai jawatan penting di dalam persatuan-persatuan. Antaranya, Ketua 1 Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) di antara tahun 1974 hingga 1994, Yang Dipertua Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (1982-1984), Pengerusi Jawatankuasa Hadiah Sastera (1979-1985). Pada tahun 1999, beliau memenangi Anugerah Tun Seri Lanang yang merupakan anugerah paling berprestij bagi sastera Melayu di Singapura.
Beliau telah mengharumkan nama Singapura dengan menyertai dalam acara-acara membaca puisi termasuk di Osaka, London, Paris, Jerman, San Francisco dan Ohio. Suratman menganggap bahawa sastera itu bagaikan satu ibadah. Beliau memaparkan realiti kehidupan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Melayu. Dengan adanya karya-karya beliau, tidak dapat dinafikan bahawa Suratman telah memahat nama di persada sastera.
fffffffazleen.
5:02 AM